Wednesday, April 1, 2009

PEMBESTARIAN SEKOLAH


APAKAH PEMBESTARIAN SEKOLAH?
Pembestarian Sekolah merupakan proses berterusan ke arah meningkatkan lagi pengunaan ICT dalam pendidikan dengan memberi fokus pada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P), keberkesanan pengurusan dan pentadbiran sekolah dan kompetensi guru. Program Pembestarian Sekolah juga memberi maksud mengaplikasikan konsep Sekolah Bestari iaitu sebagai satu institusi pembelajaran yang direka semula secara sistemik dari segi amalan pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah untuk membantu murid-murid menghadapi era teknologi maklumat. Komponen utama Pembestarian Sekolah adalah berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah berbantukan ICT. Proses Pembestarian Sekolah ini akan dapat melatih guru dan murid berkemahiran dalam bidang ICT. Justeru, kemahiran yang diperoleh dapat melahirkan murid yang boleh mengamalkan pembelajaran akses kendiri (self-accessed), terarah kendiri (self-directed) dan kadar kendiri (self-paced).

PENGENALAN
Sistem pendidikan sedia ada perlu dimantapkan selaras dengan perkembangan era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Beberapa penambahbaikan dalam pelbagai aspek perlu dilakukan supaya ianya berdaya saing dan relevan dengan kehendak semasa. Pewujudan Sekolah Bestari merupakan satu senario dalam pendidikan alaf baru di Malaysia dan bersesuaian dengan perkembangan teknologi, sosial serta budaya masa kini. Perkembangan seumpama ini memerlukan sesebuah institusi pendidikan menggabungkan serta memberikan penekanan terhadap beberapa aspek, antaranya pengajaran dan pembelajaran berbudaya fikir, pemusatan kepada pelajar, penggunaan bahan teknologi secara bijak, strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai, serta pengurusan sekolah yang efektif.
SKOP PEMBESTARIAN SEKOLAH

Pelaksanaan pembestarian ini memanfaatkan (leverage) kepada semua inisistif ICT yang sedia ada di sekolah merangkumi tiga elemen utama iaitu infrastruktur ICT dan Aplikasi Pengurusan, Pengisian Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), dan Pembangunan Sumber Manusia. Fokus Pembestarian Sekolah ialah untuk memastikan semua sekolah akan mempunyai kecapaian ICT yang sama dengan;
i. menyediakan kemudahan infrastruktur dan perkakasan yang mencukupi
ii. menyediakan perisian dan bahan-bahan digital yang lengkap
iii. memberi latihan yang secukupnya kepada semua guru, pentadbir dan staf sekongan
Pembestarian Sekolah akan menfaatkan tiga (3) elemen utama iaitu yang telah dilaksanakan ke sekolah-sekolah melalui projek-projek Kementerian seperti berikut;
i. projek makmal Komputer Sekolah
ii. program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa
Inggeris (PPSMI)
iii. rangkaian SchoolNet
iv. rancangan TV pendidikan
v. projek Rintis Sekolah Bestari
vi. ICT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
vii. mata Pelajaran yang Berasaskan ICT
viii. perkongsian Pintar dengan Syarikat Swasta
ix. latihan ICT Guru
x. pengurusan Perubahan bagi Guru dan Pentadbir Sekolah
Program Pembestarian ini akan dijalankan secara berperingkat dan berfasa mengikut keutamaan dan keupayaan Kementerian dengan mengambil kira kesediaan sekolah.

No comments:

Post a Comment